Bantuan Khidmat Guaman

5 Kesan muflis dan cara selesaikan masalah bankrap di Malaysia

Bacaan 6 minit

Apa maksud muflis atau bankrap? Secara asasnya, ia merujuk kepada proses penghutang atau peminjam diisytiharkan muflis berikutan arahan mahkamah kerana peminjam tidak mampu membayar balik hutang berjumlah tidak kurang RM50,000 dalam tempoh masa lebih daripada enam bulan. Prosedur pengisytiharan muflis akan diserahkan melalui iklan di surat khabar atau melalui papan kenyataan di mahkamah.

Kriteria yang Menyebabkan Seseorang Diisytiharkan Bankrap

Sebelum anda mengetahui kesan muflis kepada golongan muda, berikut merupakan kriteria yang menyebabkan anda diisytiharkan muflis untuk rujukan anda:

  • Tidak berupaya melangsaikan hutang berjumlah tidak kurang dari RM50,000;
  • Tidak membayar hutang melebihi tempoh masa enam bulan;
  • Individu bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya selama setahun.

Seseorang individu boleh diisytiharkan muflis melalui dua cara berikut:

  • Petisyen Pemiutang bermaksud petisyen muflis akan dikemukakan oleh pemiutang terhadap penghutang dengan hutang yang melebihi RM50,000;
  • Petisyen Penghutang merujuk pada seseorang individu boleh secara sukarela mengisytiharkan dirinya muflis untuk melindungi dirinya daripada tuntutan pemiutang yang tidak mampu untuk dijelaskan. Biasanya, tiada jumlah minimum untuk mengisytiharkan diri sendiri sebagai muflis. Setelah petisyen dikemukakan, petisyen tidak boleh ditarik balik tanpa kebenaran mahkamah.

5 Kesan Muflis atau Bankrap kepada Golongan Muda

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia, seramai 10,317 individu diisytiharkan bankrap sejak pandemik Covid-19 melanda Malaysia bermula Mac 2020 yang lalu. Selangor merekodkan individu paling ramai direkodkan bankrap iaitu seramai 2,555 orang manakala Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pula merekodkan seramai 1,288 orang bankrap dalam tempoh tersebut. Sekiranya anda diisytiharkan muflis, apa kesan nama blacklist atau kesan bankrap kepada anda? Berikut lima kesan muflis kepada diri anda yang perlu anda tahu:

1. Dibawah Pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi

Individu yang diisytiharkan bankrap atau muflis akan diletakkan di bawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). KPI akan mentadbir dan mengendalikan semua aset yang dimiliki oleh individu tersebut untuk membayar semua hutang yang ada.

2. Had Perjalanan

Individu yang muflis juga tidak akan dibenarkan untuk keluar negara melainkan mendapat kebenaran bertulis dari KPI atau perintah mahkamah yang membenarkannya keluar dari negara.

Jabatan Imigresen telah membangunkan Sistem Aplikasi Elektronik Jabatan Imigresen Malaysia. Ia bertujuan untuk membantu warga Malaysia menyemak status dokumen perjalanan ke luar negara. Anda hanya perlu masukkan nombor kad pengenalan untuk menyemak status perjalanan semasa anda.

3. Kredit Terhad

Selain itu, akaun bank sedia ada akan dibatalkan dan individu muflis dilarang daripada melakukan sebarang pengeluaran wang daripada akaun bank yang sedia ada. Bukan itu sahaja, individu muflis juga tidak dibenarkan untuk membelanjakan wang melebihi RM1,000 menggunakan kad kredit atau mendapatkan kredit lebih dari RM1,000 dari mana-mana pemiutang. Dalam erti kata lain yang lebih mudah, individu bankrap tidak boleh buka akaun bank dan tidak boleh beli kereta.

4. Aset Dirampas

Selepas diisytiharkan muflis, kesemua aset-aset yang dimiliki oleh individu yang muflis akan dikendalikan oleh KPI. Sebagai contoh, mana-mana rumah atau kereta milik individu yang muflis tersebut akan diambil dan diuruskan oleh KPI bagi digunakan untuk membayar hutang-hutang yang ada.

5. Had Pekerjaan

Ada sesetengah profesion tertentu di Malaysia seperti peguam, juru ukur, akauntan dan doktor tidak dibenarkan untuk bekerja atau mempunyai sekatan terhadap individu yang muflis oleh persatuan profesional atau pihak berkuasa. Selain itu, individu yang muflis juga tidak boleh dilantik sebagai pengarah syarikat atau memiliki perniagaan atau menjadi sebahagian daripada pemilik perniagaan.

Bankrap

3 Punca Rakyat Malaysia Diisytiharkan Muflis

Kebanyakan rakyat Malaysia yang paling ramai diisytiharkan bankrap berusia dalam lingkungan umur 35 hingga 44 tahun (32.25 peratus). Ia diikuti dengan individu berusia antara 25 hingga 34 tahun dengan 22.52 peratus. Dalam erti kata lain, golongan muda lebih berisiko tinggi untuk muflis jika tidak merancang perbelanjaan dari awal. Apa yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia muflis? Berikut antara punca muflis berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia untuk panduan anda:

1. Pinjaman

Kebanyakan kes muflis di Malaysia berlaku disebabkan oleh tunggakan pinjaman kenderaan yang tidak dijelaskan. Selain itu, ada juga kes bankrap berlaku disebabkan oleh kegagalan peminjam untuk membayar balik pinjaman perumahan, hutang peribadi dan hutang perniagaan.

Pinjaman Kereta

Tidak dinafikan, kereta telah menjadi salah satu keperluan zaman kini. Namun begitu, ia tidaklah bermaksud anda perlu memiliki kereta mewah yang melebihi kemampuan kewangan anda. Ramai individu terutamanya golongan muda yang silap percaturan semasa beli kenderaan sehingga diisytiharkan bankrap kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan. Menurut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, sebanyak 23,191 kes muflis yang dicatatkan di Malaysia berpunca daripada kegagalan menjelaskan hutang pinjaman kereta atau kira-kira 27.18 peratus daripada punca keseluruhan kes muflis.

Pinjaman Perumahan

Kita sering didedahkan dengan pemilikan rumah adalah perkara penting yang perlu diutamakan dan pemilikan rumah yang terbaik adalah semasa dalam usia muda. Namun begitu, beli rumah secara tergopoh-gopoh boleh menjadi punca muflis dalam usia muda. Ini kerana, anda terikat dengan sistem yang akan mengikat anda dalam tempoh yang lama kira-kira 30 tahun atau lebih. Berdasarkan rekod, pinjaman perumahan mencatatkan sebanyak 26 peratus daripada jumlah keseluruhan kes muflis di Malaysia dan merupakan kategori kedua tertinggi selepas pinjaman kereta. Oleh sebab itu, rancang pembelian rumah anda untuk mengelakkan anda terbeban dengan beban kewangan yang tinggi dalam usia muda.

Pinjaman Peribadi

Ramai individu yang mengambil keputusan untuk membuat pinjaman peribadi bagi mendapatkan wang segera. Masalah menjadi lebih serius sekiranya anda tidak mempunyai ilmu dan cara pengurusan kewangan yang betul sekali gus menyebabkan anda terjerat dengan komitmen bulanan yang tinggi. Sebagai contoh, ada individu yang sanggup berhutang pinjaman peribadi hanya semata-mata untuk menanggung kos kahwin bagi membuat majlis perkahwinan idaman. Untuk rekod, pinjaman peribadi mencatatkan kira-kira 24 peratus daripada punca keseluruhan kes bankrap.

Pinjaman Perniagaan

Selain itu, pinjaman perniagaan pula menyumbang kira-kira 14 peratus daripada keseluruhan kes muflis. Biasanya, ramai individu yang baru ingin memulakan perniagaan memilih untuk memohon pinjaman perniagaan. Namun begitu, cara ini berisiko kerana jika perniagaan yang diusahakan tidak berjaya, anda masih perlu membayar komitmen bulanan seperti dijadualkan. Oleh sebab itu, lebih baik untuk anda menggunakan modal yang ada di tangan anda jika anda ingin memulakan perniagaan untuk mengelakkan anda menanggung hutang yang tinggi dan mengalami kerugian yang lebih serius.

2. Menjadi Penjamin

Ada juga kes individu diisytiharkan muflis kerana menjadi penjamin kepada orang lain. Biasanya, pihak bank akan menuntut hutang daripada penghutang terlebih dahulu. Namun sekiranya penghutang tidak boleh melangsaikan atau lari daripada membayar hutang tersebut, pihak bank akan menuntut daripada individu yang menjadi penjamin kepada peminjam. Secara asasnya, penjamin terlibat secara langsung sekiranya peminjam tidak membayar balik pinjaman kerana penjamin turut menandatangani surat jaminan persetujuan menanggung liabiliti bersama bagi pihak peminjam jika peminjam gagal membayar balik pinjaman.

3. Penggunaan Kad Kredit

Memang tidak dinafikan kad kredit banyak memberi kelebihan yang tersendiri. Namun begitu, jika kad kredit digunakan tanpa kawalan dan disiplin yang tinggi, ia boleh menjerat diri. Ramai yang terlupa bahawa kadar faedah kad kredit boleh menjadi sangat tinggi jika ada tunggakan yang tidak dibayar. Oleh sebab itu, anda perlu praktikkan cara guna kad kredit dengan betul untuk elakkan anda daripada menanggung beban hutang yang tinggi. Menurut statistik, sebanyak lima peratus daripada masalah bankrap adalah berpunca daripada penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.

Keluar dari Bankrap, Cara Selesaikan Masalah Bankrap Anda Perlu Tahu

Penting untuk anda mengetahui status kewangan semasa anda untuk mengelakkan anda daripada gagal membayar balik pinjaman dan berhutang melebihi kemampuan anda. Jika anda diisytiharkan muflis, nama anda akan disenarai hitam dan anda tidak lagi boleh ke luar negara, beli kereta atau membuat sebarang pinjaman kredit daripada mana-mana bank. Sekiranya anda disenarai hitam, ada beberapa cara yang boleh anda lakukan untuk membantu anda keluar dari bankrap. Berikut antara cara yang boleh anda pertimbangkan:

1. Bayar Semua Hutang

Setelah diisytiharkan bankrap, anda perlu berbincang dengan Jabatan Insolvensi Malaysia. Daripada situ, anda boleh mengetahui jumlah yang perlu dibayar setiap bulan bergantung pada aset yang anda ada dan juga pekerjaan anda. Anda disarankan untuk mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan bagi membantu anda menjelaskan hutang dengan lebih cepat.

2. Buat Permohonan kepada Mahkamah

Anda boleh memohon pelepasan daripada status muflis di Mahkamah Persekutuan. Biasanya, pihak mahkamah akan mempertimbangkan permohonan anda dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya bayaran dilakukan tepat pada masa atau anda tidak melanggar apa-apa peraturan yang ditetapkan sepanjang tempoh tersebut. Setelah mendapat pelepasan, anda kini boleh membuka akaun bank sendiri, melancong ke luar negara dan melakukan perkara yang tidak dibenarkan semasa muflis.