Search
Close this search box.

Jual Android Box dengan kandungan penstriman tanpa kebenaran adalah kesalahan hakcipta

Bacaan 3 minit

Terdahulu, jika anda merupakan merupakan seorang pengedar, penjual, dan/atau pengguna kotak penstriman TV seperti Android Box yang menstrimkan kandungan secara haram, anda boleh didakwa di bawah dua (2) peruntukan undang-undang iaitu:-

  1. Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 [Akta 588]; dan
  2. Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 [P.U.(A) 124/2000]

A. Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 [Akta 588]

Seseorang yang

  1. menggunakan apa-apa kelengkapan atau peranti tidak standard;
  2. ada dalam milikannya apa-apa kelengkapan atau peranti tidak standard yang dia tahu atau ada sebab untuk percaya merupakan suatu kelengkapan atau peranti tidak standard bagi maksud memasang, mengerjakan, mengendalikan atau menggunakan kelengkapan atau peranti itu; atau
  3. menawarkan untuk membekalkan, membekalkan atau ada dalam milikannya dengan niat untuk membekalkan apa-apa kelengkapan atau peranti tidak standard sedemikian,

melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.”

B. Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 [P.U.(A) 124/2000]

Peraturan 16. Larangan terhadap penjualan, dsb., kelengkapan komunikasi.

Tiada seorang pun boleh menggunakan, menawarkan untuk menjual, menjual atau ada dalam miliknya dengan tujuan untuk menjual apa-apa kelengkapan komunikasi

  1. yang bertentangan dengan standard;
  2. yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan ini; atau
  3. yang telah diperakui tetapi diubah atau diubah suai kemudiannya dan tidak lagi mematuhi standard.

Seseorang yang melanggar subperaturan (1) dan yang tidak dibenarkan di bawah subperaturan (2) melakukan suatu kesalahan.

Namun kini, berdasarkan Deklarasi dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Harta Intelek) pada Mei 2021 menjadikan Pengedar dan Penjual Kotak TV yang mengandungi akses ke penstriman tanpa kebenaran Pemegang Hak Cipta boleh didakwa atas kesalahan perlanggaran hakcipta di bawah Akta Hakcipta 1987.

Sebagai contoh mudah, sekiranya pihak Astro mendapati terdapat individu/syarikat yang mengedarkan kotak TV dengan akses secara haram ke siaran produk Astro tanpa kebenaran pihak Astro, maka pihak Astro pada setiap masa berhak untuk membuat tindakan saman sivil terhadap pengedar atas kesalahan statutori mengikut kesemua tiga peruntukan di atas.

Tindakan pemunya hak cipta dan relif.

Tindakan terhadap pelanggaran hak cipta dan perbuatan yang dilarang di bawah seksyen 36A dan 36B bolehlah diambil tindakan atas guaman pemunya hak cipta itu dan, dalam apa-apa tindakan bagi pelanggaran atau perbuatan yang dilarang sedemikian, mahkamah boleh memberikan jenis relief yang berikut:

  1. suatu perintah injunksi;
  2. ganti rugi;
  3. suatu akaun keuntungan;
  4. ganti rugi statutori yang tidak melebihi dua puluh lima ribu ringgit bagi setiap karya, tetapi tidak melebihi lima ratus ribu ringgit pada agregatnya; atau
  5. apa-apa perintah lain yang difikirkan patut oleh mahkamah.

Jadi pihak Penuntut/Plaintif (suai fakta kes) dan perintah Mahkamah boleh antara lain:-

  1. Meminta Defendan untuk menghentikan jualan serta merta;
  2. Menuntut ganti rugi berdasarkan kira-kira kerugian yang dialami oleh penuntut (Plaintif) disebabkan penurunan pelanggan sepanjang aktiviti Defendan;
  3. Mendapatkan semula wang keuntungan dari pihak Defendan yang didapati secara tidak adil;
  4. Tuntut gantirugi statutori mengikut kiraan per rancangan yang distrimkan secara salah melalui peranti yang dijual Defendan;
  5. Dan lain-lain yang suai manfaat Plaintif.

Difahamkan sektor industri hiburan Malaysia dan negara masing-masing mengalami kerugian sebanyak RM 3 billion dan RM 500 juta cukai disebabkan kegiatan cetak rompak digital.

Jika dilihat, Android Box yang yang mengandungi akses penstriman secara tidak sah dengan hanya bayaran sekali sahaja banyak diiklankan dan dijual secara terbuka di Facebook, Instagram dan aplikasi jualan atas talian terkemuka menunjukkan Android Box jenis tersebut mempunyai permintaan yang sangat tinggi dikalangan warga Malaysia.