Bantuan Khidmat Guaman

Jenis-jenis jaminan kes di Malaysia

Bacaan 2 minit

Seseorang yang dituduh di Mahkamah (Orang Kena Tuduh atau OKT) atas kesalahan jenayah dan minta dibicarakan (tidak mengaku bersalah) boleh memohon kepada mahkamah untuk satu jaminan sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Apakah itu jaminan?

Jaminan (Bail) merupakan prosedur dimana seseorang yang dituduh boleh merayu kepada Mahkamah untuk satu tawaran jaminan bagi membolehkan OKT yang dituduh boleh berada diluar dan hanya perlu hadir ke Mahkamah pada tarikh-tarikh yang sudah ditetapkan oleh Mahkamah.

Sekiranya Mahkamah bersetuju untuk memberikan jaminan kepada OKT, mahkamah akan mengarahkan OKT meminta seseorang penjamin hadir bagi menjamin OKT dengan jumlah cagaran yang dinyatakan oleh Mahkamah.

Mahkamah juga boleh menetapkan syarat-syarat tambahan kepada OKT sebagai syarat jaminan seperti perlu hadir ke balai polis berdekatan pada waktu tertentu, tidak boleh menghampiri mangsa, pengadu atau saksi, tidak boleh berada di luar rumah pada waktu tertentu dan sebagainya bergantung kepada jenis kes dan juga budi bicara mahkamah.

Walau bagaimanapun, bukan semua kes boleh mendapat jaminan.

Jenis-jenis jaminan mahkamah di Malaysia

Secara umunya, terdapat tiga jenis jaminan dibawah undang-undang iaitu:

  • kesalahan yang boleh dijamin (Bailable offence)
  • kesalahan yang tidak boleh dijamin (Non-bailable offence)
  • kesalahan yang tidak boleh dijamin secara mutlak (Unbailable offence)

Kesemua kategori-kategori jaminan ini adalah dinyatakan di dalam jadual 1 Kanun Prosedur Jenayah dan lain-lain akta yang berkaitan.

Kesalahan yang boleh dijamin

Bagi kesalahan yang boleh dijamin, mahkamah wajib memberikan jaminan kepada OKT tersebut. Namun jumlah jaminan dan syarat-syarat jaminan masih tertakluk kepada budi bicara mahkamah. Dalam erti kata lain, mahkamah boleh membuat keputusan sama ada menawarkan jaminan atau tidak kepada OKT selepas meneliti rayuan OKT.

Antara contoh kesalahan dibawah kategori ini adalah; seksyen 323 Kanun Keseksaan, seksyen 420 dan seksyen 424 Kanun Keseksaan, seksyen 12 dan seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan lain-lain.

Kesalahan yang tidak boleh dijamin

Bagi kesalahan dibawah kategori ini, secara umumnya tidak boleh dijamin. Namun demikian, mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan kepada OKT berdasarkan rayuan yang dikemukakan oleh OKT.

Antara contoh kesalahan dibawah kategori ini adalah seksyen 376 Kanun Keseksaan (rogol), seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, seksyen 14 dan seksyen 15 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak dan sebagainya.

Kesalahan yang tidak boleh dijamin secara mutlak

Bagi kesalahan dibawah kategori ini, Mahkamah langsung tidak mempunyai kuasa untuk memberikan jaminan. Antara contoh kesalahan yang langsung tidak boleh dijamin adalah kesalahan dibawah seksyen 39A2, seksyen 39B dan seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya dan lain-lain.

Kesimpulannya, sebelum anda memohon jaminan kepada Mahkamah, anda perlu membuat semakan terlebih dahulu sama ada kesalahan anda ini boleh dijamin atau tidak. Sebaiknya dapatkan nasihat peguam sebelum membuat permohonan jaminan.