Search
Close this search box.

Kemalangan – Apa harus dibuat jika terlibat dalam kemalangan

Bacaan 4 minit

Kemalangan seringkali terjadi di Malaysia. Berdasarkan kepada statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dari Januari hingga September 2021, sebanyak 255,532 kes nahas di jalan raya telah direkodkan, yang turut melibatkan 3,302 kes kematian.

Jadi apa perlu dibuat kalau anda melanggar kereta orang? Apa perlu dibuat apabila lori melanggar kenderaan anda? Apa yang perlu dibuat apabila terlanggar budak-budak bawa basikal atas jalan raya dan sebagainya?

Ada juga yang minta peguam kes sivil membuat tindakan polis ke atas orang yang melanggar. Jadi hari ini kita sama-sama belajar mengenai apa yang perlu dibuat apabila anda terlibat dalam kemalangan jalan raya sama ada sebagai mangsa yang kena langgar atau orang yang melanggar. Malang tidak berbau, begitulah kemalangan.

Kemalangan maut

Apabila berlaku sesuatu kemalangan jalan raya, sekiranya ia melibatkan kemalangan maut maka kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Majistret di bawah kes jenayah selepas bahagian pendakwaan berpuas hati yang kes itu perlu dibicarakan. Jika anda adalah waris kepada si mati, tidak perlu melantik peguam (kecuali mahukan peguam pemerhati) kerana kes akan dikendalikan oleh pihak pendakwaraya.

Sekiranya anda adalah orang yang melanggar, anda boleh melantik peguam untuk membela jika tidak bersalah dan boleh pilih untuk mengaku sekiranya merasakan diri anda bersalah. Kes ini tiada kena mengena dengan kes tuntutan sivil dan janganlah ada yang katakan kepada peguam sivil “Saya tak boleh setuju untuk selesaikan kes insurans sebab nak keadilan untuk kematian arwah”, ini antara ayat yang anda selalu dengar. Jadi dua-dua ini berbeza.

Untuk kemalangan maut akan ada kes polis (jenayah) dan kes sivil untuk tuntutan waris-waris. Kes-kes kemalangan selain kes maut akan ada kes sivil sahaja kebanyakkannya.

Apa perlu dibuat apabila anda melanggar orang atau kenderaan

Jangan lari, mungkin anda rasa gigil, gelabah tapi jangan lari dari tempat kejadian sebab ia pastinya tidak adil kepada mangsa yang kena langgar dan berkemungkinan mempunyai keluarga sama seperti anda.

Selalunya apabila berlaku kemalangan akan ada ramai orang di tempat kejadian, jadi minta bantuan mereka untuk menelefon polis atau anda sendiri boleh buat panggilan.

Keluar dari kereta dan tengok keadaan mangsa, hubungi ambulans sekiranya mangsa perlu mendapat rawatan lanjut di hospital.

Tunggu pihak polis sampai, biar polis ambil gambar atau ikut arahan pegawai polis (selalunya polis minta buat laporan polis dan bawa kenderaan ke balai untuk tujuan pengambilan keterangan dan keluarkan kompaun atau waran sekiranya mangsa meninggal).

Sekiranya ada saman bayarlah saman tersebut dan sekiranya ada pengeluaran waran, minta buat jaminan. Beri kerjasama kepada mangsa yang kena langgar, mereka mungkin memerlukan butiran kereta dan sebagainya. Sebaiknya kes kemalangan besar tidak perlu selesaikan dengan pemberian duit kepada mangsa sebab tuntutan mereka besar dan mereka pastinya akan membuat tuntutan insuran.

Telefon dan beritahu syarikat insuran berkenaan kemalangan (selalunya mereka akan minta salinan laporan polis, gambar dan lain-lain jika anda pun membuat tuntutan baiki kenderaan anda).

Mangsa yang telah dilanggar akan melantik peguam dan mereka akan menghantar writ saman kepada anda dan pemilik kenderaan (sekiranya orang yang berbeza).

Beritahu perkara ini kepada pihak insuran dan tunggu mereka melantik peguam panel dan seterusnya peguam panel akan uruskan kes dan akan beritahu sekiranya perlu datang untuk ambil keterangan. Berikan kerjasama kepada mereka.

Kadang-kadang pihak insuran akan melantik adjuster untuk datang berjumpa dengan anda bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan kemalangan.

Apa perlu dibuat sekiranya anda dilanggar

Apabila anda keluar daripada hospital terus buat laporan polis, sekiranya tidak alami sebarang kecederaan buat laporan dalam tempoh 24 jam.

Polis akan meminta anda memberi keterangan. Si pelaku akan disaman sekiranya pihak polis berpendapat mereka bersalah.

Lantik peguam yang tahu untuk membuat kes tuntutan kemalangan, mereka akan memohon untuk mendapatkan laporan perubatan, JPJ, polis dan lain-lain.

Simpan semua resit yang telah dibelanjakan sepanjang mendapatkan rawatan dan memberikan segala resit dan dokumen tentang gaji, pendapatan dan kehilangan kepada peguam untuk membolehkan peguam menyediakan dan menfailkan saman.

Proses failkan saman memang ambil masa sekiranya dokumen-dokumen masih tidak cukup atau menunggu laporan pakar untuk kecederaan. Namun sentiasa berhubung dengan peguam dan tanya apa status terkini.

Peguam akan memberitahu tarikh-tarikh penting untuk hadir ke mahkamah dan juga tarikh bicara. Hadirkan diri ke mahkamah untuk bicara.

Sekiranya peguam insuran dan peguam anda mencadangkan amaun yang sesuai dengan kecederaan, maka anda boleh bersetuju untuk menerima, sekiranya tidak setuju peguam akan teruskan dengan bicara dan anda yang memberikan keterangan dan disoal balas nanti.

Selepas habis bicara, tunggu keputusan kes dan sekiranya keputusan memihak kepada anda, peguam akan beritahu anggaran masa bila boleh dapatkan duit tuntutan tersebut.

Sekiranya tidak berpihak kepada anda, anda boleh minta peguam untuk membuat rayuan keatas keputusan ataupun memilih untuk membiarkan saja kes itu.

Kesimpulan

Antara perkara yang selalu kita pandang ringan ialah memandu atau menunggang kereta/motosikal yang tiada road tax dan insuran. Cuba bayangkan anda menyebabkan satu keluarga kehilangan orang tersayang dan punca pendapatan sertawaris-waris tersebut tidak boleh dapatkan tuntutan insuran disebabkan kenderaan anda tiada insuran.

Kalau ada yang kata insuran bureau boleh bagi kalau tidak ada insuran, memang boleh bagilah tapi sebagai ex-gratia, mungkin RM300, RM500 dan lain-lain atau mungkin tiada langsung.

Ibu bapa juga jangan membenarkan anak-anak bawah umur yang tiada lesen untuk membawa kenderaan di jalan raya. Kita saling menghormati setiap pengguna jalan raya, setiap nyawa adalah sangat berharga.