Bantuan Khidmat Guaman

Muflis – Soalan lazim apabila anda dikenakan perintah muflis

Bacaan 10 minit

Berikut merupakan soalan-soalan lazim yang mungkin anda ingin tahu sekiranya dikenakan perintah muflis oleh mahkamah.

Apa itu kebankrapan?

Kebankrapan merujuk kepada satu proses di mana seorang penghutang diisytiharkan sebagai bankrap melalui perintah mahkamah atas petisyen pemiutang atau petisyen penghutang sendiri. Segala harta kepunyaan bankrap yang tidak bercagar adalah terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) dan KPI bertanggungjawab untuk menghasilkan semua harta tersebut. Hasil jualan harta akan diagihkan kepada pemiutang yang telah memfailkan borang bukti hutang dan bukti hutang tersebut telah diperakukan oleh KPI.

Adakah terdapat amaun minimum yang terhutang oleh seseorang individu untuk menjadikannya bankrap atau muflis?

Ya, pihak pemiutang boleh memfailkan tindakan kebankrapan sekiranya amaun keberhutangan berjumlah RM100,000.

Bagaimana saya boleh diisytiharkan bankrap?

Anda hanya boleh diisytiharkan bankrap melalui Perintah Mahkamah. Terdapat dua kaedah di mana perintah kebankrapan boleh diberikan iaitu sama ada melalui petisyen pemiutang atau anda sendiri secara sukarela mendapatkan perintah mahkamah untuk membankrapkan diri sendiri melalui petisyen penghutang.

Adakah kebarangkalian seorang individu diisytiharkan bankrap tanpa pengetahuannya?

Mengikut peruntukan perundangan, semua dokumen undang-undang mestilah disampaikan secara kediri kepada penghutang. Untuk tujuan tersebut, pemiutang akan merujuk kepada alamat penghutang yang dimiliki dalam rekod mereka. Ini bergantung kepada penghutang untuk sentiasa mengemaskini maklumat terkini termasuklah alamat mereka. Dalam keadaan yang mana pemiutang gagal menyerahkan apa-apa dokumen undang-undang secara kediri, mahkamah boleh mengarahkan supaya penyampaian ganti dibuat. Dalam situasi tersebut, sekiranya perintah kebankrapan diserahkan melalui penyampaian ganti, penghutang atau penjamin dianggap telah menerima pemberitahuan berhubung perintah kebankrapan tersebut.

Secara ringkasnya, seorang individu boleh diisytiharkan bankrap tanpa pengetahuannya. Ini mungkin disebabkan oleh dokumen undang-undang telah dihantar ke alamat lama, individu tidak hadir ke mahkamah sewaktu kes kebankrapan disebut, individu enggan menerima atau membuka apa-apa dokumen undang-undang yang telah dihantar ke alamat mereka atau individu tersebut tidak membaca surat khabar tempatan sekiranya penyerahan dibuat secara penyampaian ganti.

Bagaimana saya boleh menyemak status kebankrapan?

Semakan boleh dibuat di portal e-insolvensi https://e-insolvensi.mdi.gov.my

Bayaran carian berjumlah RM10.00 akan dikenakan bagi setiap carian.

Bolehkah seorang individu mengisytiharkan dirinya sendiri sebagai bankrap sekiranya tidak mampu menjelaskan hutang?

Seorang individu boleh membuat permohonan ke mahkamah untuk mengisytiharkan dirinya bankrap seperti diperuntukkan di bawah seksyen 7 Akta Insolvensi 1967 dan kaedah 102(1) Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017. Individu tersebut perlu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi dengan mengisytiharkan ketidakmampuan menjelaskan hutang kepada pemiutang. Penghutang perlu mendepositkan dengan KPI sejumlah RM1,500.00 apabila mengemukakan petisyen tersebut. Segala prosedur hendaklah dipatuhi sepertimana yang dinyatakan dalam Akta Insolvensi 1967 dan Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017. Untuk maklumat lanjut sila hubungi cawangan MdI yang terdekat untuk khidmat nasihat atau berhubung terus kepada Unit Aduan di MdI.

Bolehkah MdI membankrapkan individu?

MdI tidak membankrapkan individu. Seperti yang dinyatakan di atas, seseorang individu diisytiharkan bankrap oleh perintah mahkamah sama ada melalui permohonan daripada pemiutang atau permohonan daripada individu itu sendiri. Setelah perintah mahkamah dibuat, dari segi undang-undang, KPI telah menjadi pentadbir kepada estetnya dan akan memantau dan menyelia kelakuan bankrap sehinggalah bankrap dilepaskan daripada kebankrapannya.

Apa yang perlu saya lakukan setelah diisytiharkan bankrap?

Setelah anda dperintahkan bankrap, anda hendaklah hadir ke cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan anda dengan kadar segera. Cawangan yang mentadbir kes kebankrapan merupakan cawangan di negeri yang mana perintah kebankrapan dikenakan kepada anda. Anda diminta untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dan mendedahkan segala maklumat berkaitan pendapatan kepada Pegawai Insolvensi. Pegawai kami akan membantu anda dalam pengisian borang-borang yang berkaitan.

Apakah tanggungjawab seorang bankrap?

Setelah mendapat perintah kebankrapan dan sepanjang tempoh kebankrapan, seorang bankrap hendaklah memberi kerjasama penuh dengan KPI dalam pentadbiran kebankrapannya. Bankrap perlu menyediakan maklumat mengenai aset, liabiliti, transaksi atau penyata kewangan, maklumat harta dan perkara lain yang berkaitan.

Tanggungjawab bankrap termasuk:

  • menghadirkan diri ke pejabat KPI MdI secepat mungkin apabila menerima Perintah Kebankrapan dan apa-apa arahan atau notis daripada KPI;
  • menyerahkan semua maklumat aset kepada KPI;
  • mengemukakan Penyataan Hal Ehwal Bankrap yang lengkap;
  • mengemukakan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan setiap enam (6) bulan;
  • menghadiri semua mesyuarat pemiutang;
  • membuat sumbangan/bayaran terhadap estet kebankrapan daripada 10% pendapatan peribadi;
  • dilarang menerima sebarang pemberian wang/kredit sebanyak RM1,000.00 atau lebih daripada mana-mana pihak tanpa memaklumkan pihak tersebut status beliau sebagai seorang bankrap;
  • tidak membuat pembayaran secara terus kepada pemiutang;
  • memaklumkan kepada KPI atas perubahan nama, alamat, nombor telefon, pendapatan, harta dan maklumat lain yang berkaitan; dan
  • memberi maklumbalas atas pertanyaan KPI dalam masa yang ditetapkan.

 Apakah kelayakan yang hilang bagi seorang bankrap?

Setelah diberikan Perintah Kebankrapan, bankrap hilang kelayakan daripada:

  • memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen/Ahli Dewan Undangan Negeri;
  • memegang jawatan sebagai penjawat awam (tertakluk kepada keputusan Lembaga Tatatertib Jabatan);
  • memegang sebarang jawatan dalam mana-mana badan berkanun, koperasi berdaftar atau organisasi;
  • mengamalkan profesion tertentu;
  • menjalankan perniagaan secara persendirian atau perkongsian atau menubuhkan syarikat;
  • bekerja dalam perniagaan saudara;
  • memulakan atau mengekalkan apa-apa tindakan mahkamah tanpa sanksi KPI selain daripada tindakan untuk ganti rugi dalam kecederaan kepada orang lain;
  • meninggalkan Malaysia tanpa kebenaran KPI atau mahkamah;
  • apa-apa wang atau ganjaran yang diterima oleh bankrap hendaklah terletak hak kepada KPI untuk dibahagikan kepada pemiutang (tertakluk kepada budi bicara KPI); dan
  • Menguatkuasakan haknya di bawah undang-undang tertentu.

Bolehkah seorang bankrap memohon kepada KPI untuk mengurangkan jumlah hutang?

KPI bertanggungjawab mentadbir perihal bankrap dan menguruskan estet kebankrapan. KPI tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah hutang yang difailkan oleh pemiutang. Sekiranya bankrap berniat untuk mendapatkan pengurangan jumlah hutang bagi tujuan membuat penyelesaian penuh, bankrap hendaklah menulis atau berjumpa dengan pegawai di bank yang berkenaan untuk memohon pengurangan tersebut. Sekiranya pihak pemiutang bersetuju untuk mengurangkan jumlah hutang, bankrap hendaklah membuat pembayaran dengan jumlah baru yang dipersetujui kepada KPI dan KPI akan mengambil tindakan mengisytiharkan dividen kepada pemiutang.

Bolehkah seorang bankrap membuat bayaran terus kepada pemiutang untuk melangsaikan hutangnya?

Bankrap tidak dibenarkan membuat pembayaran terus kepada pemiutang. Semua bayaran hendaklah dibuat kepada KPI. Pembayaran tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun estet bankrap dan akan diagihkan kepada pemiutang yang telah memfailkan Bukti Hutang serta Bukti Hutang tersebut telah diperakui oleh KPI.

Bolehkah seorang bankrap membuka akaun simpanan atau meneruskan penggunaan akaun sedia ada?

Setelah diisytiharkan bankrap, akaun sedia ada akan ditutup dan segala transaksi akan disekat. Walau bagaimanapun bankrap boleh membuka akaun yang baru atau mengaktifkan akaun sedia ada bagi tujuan seperti kemasukan wang gaji atau syarat-syarat munasabah lain dengan syarat mendapat kebenaran daripada KPI. Permohonan tersebut hendaklah dibuat di cawangan cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapannya.

Bolehkah bankrap memindahkan hartanya?

Seorang bankrap tidak dibenarkan untuk memindah milik hartanya kepada pihak ketiga selepas Perintah Kebankrapan dibuat terhadapnya. Setelah diisytiharkan bankrap, segala harta dan aset secara automatik terletak hak kepada KPI.

Sama ada bankrap dibenarkan untuk menguruskan hartanya sendiri?

Bankrap tidak dibenarkan untuk menguruskan hartanya sendiri sepertimana peruntukan seksyen 8(1)(b) Akta Insolvensi 1967 kerana segala aset dan harta bankrap yang tidak bercagar adalah terletak hak kepada KPI. Oleh yang demikian, segala transaksi atau urusan penjualan berkaitan harta bankrap hanya boleh dibuat melalui KPI melainkan hartanah di bawah Rezab Melayu, bankrap mempunyai kuasa untuk menghasilkan hartanah tersebut dan hasil jualan hendaklah diserahkan kepada KPI. Manakala bagi harta bercagar, bankrap perlu berurusan dengan pemegang gadaian sendiri. Bankrap juga dilarang untuk memasuki apa-apa urusan atau transaksi yang melibatkan pinjaman kewangan dan penjualan.

Memandangkan saya sudah diisytiharkan bankrap, apa yang akan berlaku terhadap harta saya?

Semua harta hendaklah terletak hak kepada KPI kecuali yang disenaraikan di bawah seksyen 48(1)(a) Akta Kebankrapan 1967. Ini termasuk alat perdagangan dan pakaian keperluan isteri dan anak-anak untuk nilai yang tidak melebihi RM5,000.00. Semua harta yang terletak hak kepada KPI akan dihasilkan dan hasil akan diagihkan kepada pemiutang yang hutangnya telah diperakui oleh KPI.

Adakah pemiutang saya mempunyai hak untuk menyita aset saya setelah saya diisytiharkan bankrap?

Pemiutang tidak bercagar tidak boleh mengambil tindakan selanjutnya terhadap seorang bankrap untuk mendapatkan hutang yang ditanggung sebelum diisytiharkan sebagai bankrap. Pemiutang tidak bercagar tiada kuasa untuk menguruskan harta  bankrap dan sekiranya mana-mana pemiutang tidak bercagar berniat untuk meneruskan sebarang tindakan undang-undang terhadap bankrap, ia hanya boleh bermula dengan kebenaran mahkamah. Selain memfailkan saman terhadap bankrap, mereka juga perlu memfailkan bukti hutang mereka.

Walau bagaimanapun, pemiutang bercagar boleh menguruskan dan menghasilkan harta bankrap di bawah seksyen 8(2) Akta  Insolvensi 1967 dan pemiutang bercagar berhak untuk mendapat faedah sekiranya  harta itu  dihasilkan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh Perintah Kebankrapan. Pemiutang yang bercagar boleh mengambil tindakan undang-undang untuk  menghasilkan harta bankrap. Lebihan hasil jualan tersebut hendaklah diserahkan kepada KPI untuk dimasukkan ke dalam estet bankrap bagi tujuan pengagihan kepada pemiutang-pemiutang.

Bolehkah seorang bankrap membuat pinjaman peribadi/bank?

Seorang bankrap hanya boleh membuat pinjaman dengan amaun tidak melebihi RM1,000.00. Sekiranya bankrap berniat untuk membuat pinjaman melebihi RM1,000.00, beliau hendaklah memaklumkan kepada pihak yang memberikan pinjaman tersebut status kebankrapannya bagi membolehkan pihak yang berkenaan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan pemberian pinjaman tersebut. Sekiranya gagal, bankrap dianggap melakukan kesalahan di bawah Akta Insolvensi 1967.

Apakah risiko-risiko yang diambil oleh institusi-institusi kewangan jika mereka memutuskan untuk memberikan pinjaman kepada seseorang yang telah bankrap?

Jika pemberi pinjaman mengetahui status kebankrapan peminjam dan memutuskan untuk meluluskan pinjaman tetap, risiko adalah ke atas pemberi pinjaman. Pemberi pinjaman perlu menanggung semua risiko sekiranya peminjam iaitu bankrap gagal untuk membayar semula pinjaman.

Bolehkah bankrap keluar negara?

Seorang bankrap sama sekali tidak dibenarkan meninggalkan negara kecuali beliau mendapat kebenaran bertulis daripada KPI ataupun mahkamah yang membenarkannya. Permohonan berserta dokumen sokongan hendaklah dihantar ke cawangan yang mentadbir kes kebankrapannya. Borang permohonan boleh dimuat turun dalam portal https://www.mdi.gov.my/

Bolehkah ibubapa saya yang bankrap melawat saya di negara lain?

Perjalanan keluar negara hanya dibolehkan dengan kebenaran KPI yang diamanahkan melalui budi bicara undang-undang. Tujuan utama ialah untuk memastikan bankrap memberikan keutamaan untuk menjelaskan hutangnya. Oleh yang demikian, lawatan sosial adalah dilarang kerana dianggap wang tersebut seharusnya digunakan untuk membayar hutang. Faktor seperti kelakuan yang baik, kepatuhan kepada peraturan dan kewajipan, inisiatif menyelesaikan hutang adalah paling utama dalam menentukan sama ada bankrap dibenarkan keluar negara atau sebaliknya. Borang permohonan dan dokumen yang berkaitan boleh didapati di dalam portal MdI di bawah pautan ‘Muat Turun Borang’.

Bagaimana kebankrapan saya memberikan kesan kepada pekerjaan sekarang atau masa depan?

Kebankrapan tidak menghalang anda daripada bekerja. Sekiranya anda diisytiharkan bankrap, ia tidak akan menafikan hak untuk meneruskan pekerjaan sekarang ataupun mendapat pekerjaan baru. Namun, seseorang bankrap perlu menyemak sama ada terdapat sebarang ketetapan di dalam kontrak pekerjaan atau dokumen syarikat. Ianya tertakluk kepada terma dan syarat di dalam kontrak pekerjaan majikan. Sebagai contoh, sekiranya syarat menyatakan perlu memaklumkan majikan mengenai status kebankrapan, anda hendaklah memaklumkan kepada majikan akan status tersebut.

Memandangkan saya memerlukan kebenaran KPI untuk meneruskan pekerjaan sekarang atau mendapatkan pekerjaan yang baru, apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kebenaran tersebut?

Anda hendaklah membuat permohonan bertulis kepada KPI melalui cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan anda. Sila ambil perhatian bahawa anda hendaklah menyertakan sekali dokumen-dokumen yang berkaitan dengan permohonan seperti pengesahan majikan, surat lantikan, senarai skop kerja, jumlah pendapatan, carian syarikat dan lain-lain. Sekiranya KPI memutuskan untuk memberi kebenaran, beberapa syarat yang dirasakan perlu akan diberikan. Anda harus ingat bahawa pematuhan kepada syarat-syarat tersebut adalah perlu dan kegagalan berbuat demikian akan dianggap menghina mahkamah dan boleh dihukum penjara.

Bolehkah saya mengekalkan jawatan sebagai pengarah syarikat jika saya diisytiharkan bankrap?

Seorang bankrap yang belum dilepaskan hilang kelayakan untuk menjalankan tugas sebagai pengarah syarikat. Sekiranya bankrap ingin mengekalkan jawatan tersebut, permohonan hendaklah dibuat kepada KPI atau mahkamah. Perlu juga diingatkan bahawa tanpa kebenaran KPI dan mahkamah, bankrap turut dilarang daripada perkara berikut:

  • Bekerja di syarikat milik pasangan, anak atau saudara-mara;
  • Menjalankan perniagaan pemilikan tunggal.

Apakah kesan ke atas seorang bankrap yang mempunyai pekerjaan dalam profesion tertentu?

Bankrap tidak dibenarkan melibatkan diri dalam sebarang perdagangan atau profesion tertentu di mana mungkin terdapat sekatan tertentu yang akan dikenakan oleh persatuan profesional atau pihak berkuasa pelesenan, seperti peguam, akauntan, pelikuidasi, juru ukur kuantiti atau bertindak sebagai pengarah syarikat. Badan profesional yang berkenaan perlu dirujuk untuk maklumat lanjut.

Apakah prosedur pindah fail?

Permohonan perlu dikemukakan secara bertulis ke cawangan MdI yang mentadbir kes kebankrapan berserta dengan dokumen sokongan yang membuktikan bankrap menetap di kawasan yang dipohon. Sebaik sahaja permohonan pemindahan fail diterima, pegawai kes akan memfailkan permohonan ke mahkamah bagi memindahkan fail tersebut ke cawangan MdI yang dipohon. Mahkamah kemudiannya akan menetapkan tarikh pendengaran bagi membuat keputusan berkaitan permohonan tersebut sama ada dibenarkan ataupun tidak. Sebagai makluman, tempoh untuk pemindahan fail bergantung kepada tarikh pendengaran yang ditetapkan oleh Mahkamah. Sekiranya dibenarkan, perintah akan dikeluarkan dan MdI akan mengambil tindakan memindahkan fail tersebut ke cawangan yang dipohon.

Apakah perbezaan antara pembatalan Perintah Kebankrapan dan pelepasan Perintah Kebankrapan?

Pembatalan merujuk kepada penamatan Perintah Kebankrapan yang telah dibuat terhadap seorang bankrap, seolah-olah beliau tidak pernah dibankrapkan. Sebaliknya, Pelepasan Perintah Kebankrapan melepaskan anda dari kesemua hutang-hutang yang boleh dibuktikan dalam kebankrapan kecuali hutang kepada Kerajaan, Negeri, dan Peguam Negara yang berkaitan dengan bon-bon wang jaminan dan mana-mana hutang boleh dibuktikan yang mana disebabkan oleh penipuan atau pecah amanah.

Adakah terdapat pelepasan secara automatik untuk bankrap?

Pelepasan automatik hanya tertakluk kepada kelayakan yang telah ditetapkan oleh peruntukkan Akta seperti berikut:

  • Notis Kebankrapan (BN) dikeluarkan pada atau selepas 6 Oktober 2017.
  • telah memfailkan Pernyataan Hal Ehwal (PHE) di bawah seksyen 16 Akta 360;
  • telah mengisi borang permohonan dan akujanji untuk mematuhi sasaran sumbangan (TC) dan pemfailan penyata pendapatan bagi tempoh enam (6) bulan;
  • tempoh 3 tahun pemantauan sasaran sumbangan (TC) bermula dari tarikh PHE difailkan; dan
  • bankrap mematuhi (TC) yang ditetapkan oleh KPI dengan mengambilkira beberapa perkara yang telah ditetapkan dalam Akta.

Nota: Mana-mana bankrap yang gagal menyelesaikan sasaran sumbangan (TC) dalam tempoh 3 tahun seperti mana yang ditetapkan, maka ia tidak layak untuk mendapat pelepasan secara automatik dan kes akan ditadbir seperti biasa sehingga suatu keadaan yang boleh diputuskan kemudian oleh MdI.

Bagaimana seorang bankrap atau muflis boleh dilepaskan daripada kebankrapannya?

Terdapat 4 kaedah untuk seseorang bankrap dilepaskan daripada kebankrapannya iaitu:

Perintah Pembatalan Muflis di bawah seksyen 105 Akta Insolvensi 1967;

Permohonan ini difailkan oleh bankrap ke Mahkamah apabila keseluruhan tuntutan hutang dibayar sepenuhnya oleh bankrap melalui KPI kepada pemiutang-pemiutang yang telah membuktikan hutang dalam kebankrapan berserta fi dan kos pentadbiran kes. Mahkamah akan membatalkan kes kebankrapan apabila mahkamah berpuas hati bahawa hutang bankrap telah diselesaikan sepenuhnya.

Pelepasan Melalui Perintah Mahkamah di bawah seksyen 33 Akta Insolvensi 1967;

Permohonan ini difailkan oleh bankrap pada bila-bila masa ke mahkamah selepas perintah kebankrapan. Mahkamah akan meneliti laporan KPI mengenai sikap dan kelakuan bankrap sepanjang tempoh pentadbiran kebankrapan. Mahkamah juga akan membuat keputusan sama ada untuk memutuskan pelepasan mutlak, pelepasan bersyarat atau pun menolak permohonan pelepasan.

Pelepasan Melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi di bawah seksyen 33A Akta Insolvensi 1967

Bankrap boleh memohon untuk pelepasan melalui Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) jika suatu tempoh 5 tahun telah tamat dari tarikh perintah kebankrapan. Antara faktor yang diberi pertimbangan oleh KPI ialah alasan permohonan, peratusan dividen yang boleh dibayar, kerjasama dan sikap bankrap sepanjang pentadbiran kes dan kepentingan pihak pemiutang.

Namun, KPI boleh melepaskan empat (4) kategori bankrap tanpa bantahan daripada pemiutang di bawah seksyen 33A yang dibaca bersama seksyen 33B(2A). Empat (4) kategori tersebut ialah:

  • bankrap atas alasan sebagai penjamin sosial;
  • bankrap didaftarkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008;
  • bankrap yang telah meninggal dunia; dan
  • bankrap yang mengidap penyakit serius yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

Pelepasan Automatik Muflis di bawah seksyen 33C Akta Insolvensi 1967.

Melalui pindaan Akta Insolvensi 1967 yang berkuat kuasa pada 6.10.2017, bankrap boleh memohon untuk dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh 3 tahun dari tarikh pemfailan Pernyataan Hal Ehwal (PHE) dengan syarat-syarat tertentu.