Bantuan Khidmat Guaman

Saman sivil – Apa perlu dibuat kalau anda dapat saman ini?

Bacaan 3 minit

Cuba bayangkan, anda tengah duduk berehat di rumah tiba-tiba ada orang datang di rumah. Bila buka pintu, orang tersebut bagi anda satu surat. Apabila dibaca, surat tersebut rupanya anda diberikan saman sivil atau LOD (letter of demand) menuntut anda membuat bayaran RM100,000.00.

Jika anda menghadapi situasi begini, jangan panik.

Sebelum itu, anda kena tahu beberapa contoh-contoh tindakan sivil yang boleh dikenakan:

  • Saman fitnah
  • Tuntutan hutang
  • Tuntutan sewa rumah
  • Kes kemalangan jalan raya
  • Perlanggaran kontrak

1. Pastikan dulu sama ada kita dah disaman ataupun bakal disaman.

Belum Disaman

Jika anda belum disaman tetapi bakal disaman, biasanya individu yang ingin menyaman anda akan menghantar satu surat yang dipanggil Notis Tuntutan (Letter of demand) daripada peguam yang beliau lantik.

Contoh Notis Tuntutan:

Saman sivil - Contoh notis tuntutan
Saman sivil Contoh notis tuntutan

Notis Tuntutan berfungsi sebagai amaran terakhir sebelum saman diteruskan ke mahkamah.

Jadi, kalau anda ada diserahkan dengan Notis Tuntutan, jangan panik dan yang penting jangan buat tak tahu. Apa yang perlu dibuat adalah dapatkan nasihat guaman. Lagi-lagi kalau anda rasa kandungan Notis Tuntutan tu tak betul dan ada penjelasan lain yang anda hendak nyatakan.

Notis Tuntutan boleh diserahkan sama ada melalui serahan tangan, poslaju, A.R Berdaftar ataupun emel.

Sudah Disaman

Kalau nak tahu yang anda sudah disaman, anda akan menerima writ Saman dan pernyataan tuntutan.

Contoh writ saman.

Notis tuntutan saman atau LOD daripada mahkamah
Notis tuntutan saman atau LOD daripada mahkamah

2. Semak bila dan di mana anda perlu hadir untuk saman sivil anda

Boleh rujuk di cover letter peguam plaintif yang dilampirkan bersama writ saman.

Defendan (pihak yang disaman) perlu memfailkan memorandum kehadiran dalam masa 14 hari dari tarikh terima writ saman tu.

3. Lantik Peguam

Kalau anda rasa ada pembelaan atau penjelasan yang kuat terhadap saman tu, maka langkah seterusnya adalah untuk melantik peguam bagi mewakili anda dalam tindakan tersebut.

Peguam yang akan failkan memorandum kehadiran tersebut. Boleh juga dapatkan nasihat peguam di peringkat notis tuntutan, akan lebih mudah.

Apa yang akan terjadi kalau anda gagal hadir ke mahkamah apabil diberikan saman sivil?

Jika anda tidak pedulikan saman yang diterima atau gagal hadir ke mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan, plaintif boleh memasukkan Penghakiman Ingkar Kehadiran terhadap kita.

Kesannya?

Kita kalah sebelum masuk gelanggang lagi. Apabila pihak plaintif sudah ada Penghakiman Ingkar Kehadiran, Plaintif boleh gunakan Penghakiman tersebut untuk laksanakan pelaksanaan Penghakiman terhadap kita.

Contoh pelaksanaan penghakiman:

  • Saman Penghutang Penghakiman (kita boleh dipenjara sebab tak bayar hutang)
  • Tindakan kebankrapan (jika jumlah penghakiman melebihi RM100,000.00)
  • Writ Penyitaan dan Penjualan Harta Boleh alih (barang-barang milik kita contohnya perabot rumah boleh dijual untuk selesaikan jumlah penghakiman)
  • Writ Penyitaan dan Penjualan Harta tak alih (apa-apa hartanah mungkin boleh dijual untuk selesaikan jumlah penghakiman)
  • Garnishee Proceedings
  • Writ Penghantaran