Search
Close this search box.

Tanah diceroboh – Tindakan yang boleh anda ambil

Bacaan 3 minit

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan hak ekslusif kepada seorang pemilik hartanah ke atas hartanahnya. Hak asasi ini kemudiannya diterjemahkan di dalam Seksyen 340 Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) bahawa pihak pemilik yang berdaftar ke atas hartanah tesebut tidak boleh disangkal hak dan ketuanpunyaannya dan seterusnya menjaga hak sebagai pemilik yang berkuasa ke atas hartanah tersebut sepenuhnya. Jika tanah diceroboh anda berhak sebagai tuan tanah untuk membuat sebarang tindakan.

Di bawah Seksyen 44(1) KTN juga selanjutnya memberikan hak dan kepentingan eksklusif pemilik hartanah tersebut untuk menikmati penggunaan hartanah tersebut tanpa boleh diganggu oleh mana mana orang tanpa alasan yang sah di sisi undang-undang.

Sekiranya terdapat apa jua pencerobohan oleh pihak ketiga hatta dari individu asing dan/atau ahli keluarga sekalipun, undang-undang menetapkan suatu pencerobohan itu sebagai suatu kesalahan di bawah Seksyen 425 KTN yang memperuntukkan penjara tidak lebih satu (1) tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.00.

Seksyen 426A KTN juga memperuntukkan kuasa pihak polis, pentadbir tanah, dan pegawai yang diberi kuasa untuk menahan individu yang menceroboh suatu hartanah dan merampas apa jua kenderaan, traktor dan lain-lain yang digunakan untuk tujuan pencerobohan tersebut.

Hak pemilik-pemilik untuk tindakan dalam isu pencerobohan

Bergantung kepada fakta semasa, penyataan di atas dan rujukan pihak pemilik dengan pihak perundangan yang berkaitan, antara tindakan yang boleh diambil oleh pihak pemilik hartanah tersebut dalam isu pencerobohan tidak kira, memasuki, mengorek struktur tanah, menyebabkan harta benda si penceroboh memasuki hartanah pemilik adalah:

1. Menfailkan suatu laporan polis di balai terdekat

Dengan menfailkan suatu laporan polis terhadap penceroboh dan/atau pekerja penceroboh, pihak polis dapat memulakan satu kertas siasatan dan tindakan awal seperti membuat lawatan tapak dan memanggil Penceroboh untuk diambil keterangan. Pihak polis juga dapat mengguna kuasa sedia ada untuk memberi amaran ringan kepada pihak penceroboh untuk menghentikan tindakan pencerobohan dengan segera.

Pada masa yang sama, sekiranya pihak polis selepas siasatan mendapati penceroboh masih enggan atau enggan memberi kerjasama, boleh membuat permohonan untuk membawa kes ke peringkat pertuduhan oleh bahagian pendakwaan yang kemudiannya membuka satu kes pertuduhan ke atas penceroboh di mahkamah di bawah kes jenayah.

2. Melantik peguam untuk mengeluarkan Notis Segera kepada penceroboh untuk menghentikan pencerobohan dan menuntut ganti rugi

Pihak pemilik juga boleh dengan segera melantik mana-mana peguam yang sesuai untuk peguam tersebut mengeluarkan suatu Notis dan/atau Notis Tuntutan kepada penceroboh agar penceroboh keluar dari hartanah tersebut, membayar ganti rugi atas pencerobohan tersebut, menjadikan keadaan hartanah tersebut dalam keadaan asal sebelum diceroboh dan apa jua kerugian akibat pencerobohan tersebut.

3. Menfailkan suatu saman dan/atau permohonan di mahkamah bagi suatu perintah Deklarasi, Injuksi, Kebenaran spesifik, dan Perintah Ganti Rugi.

Sekiranya tindakan 1 dan 2 di atas tidak memberi kesan drastik, pihak pemilik adalah disarankan untuk melantik pihak peguam mewakili pemilik untuk saman dan/atau permohonan di mahkamah yang mana adalah berkesan dan menyeluruh untuk menghentikan tindakan pencerobohan penceroboh. Di dalam permohonan tersebut antara lain memohon mahkamah untuk:

  • Memutuskan bahawa tindakan penceroboh adalah suatu pencerobohan atas kesalahan Tort: Trespass;
  • Memutuskan bahawa tindakan penceroboh mendatangkan kerugian kepada pihak pemilik;
  • Memberi kebenaran pemilik untuk sama ada mengekalkan bangunan sedia ada atau memusnahkan bangunan sedia ada di atas hartanah tersebut;
  • Memberi kebenaran kepada pihak polis dan/atau pihak berkuasa untuk memasuki hartanah tersebut, menangkap penceroboh, dan merampas secara sah apa jua jentera yang digunakan untuk pencerobohan di atas hartanah tersebut;
  • Memberi kebenaran kepada pegawai mahkamah untuk memasuki hartanah tersebut untuk melaksanakan Writ Pemilikan Hartanah tersebut bagi pihak pemilik;
  • Menuntut pihak penceroboh untuk mengembalikan hartanah tersebut dalam keadaan asal; dan/atau
  • Menuntut pihak penceroboh untuk menjelaskan ganti rugi akibat kerosakan yang dilakukan dan menjelaskan ganti rugi atas Tort of Conversion and Deteniu yang menyebabkan transaksi jual beli dengan pihak pembeli tergendala.