Bantuan Khidmat Guaman

Tips mengelak diri anda muflis serta kesan kepada hartanah

Bacaan 6 minit

Bila dengar soal muflis atau bankrup memang ramai yang akan takut. Muflis boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti gagal bayar kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman perumahan dan sebagainya.

Tapi, kadang-kadang ramai orang bukan tak nak bayar, cuma tak mampu. Siapa yang suka kena kejar dengan bank kan?

Apatah lagi musim pandemik COVID-19 ni. Ramai yang hilang kerja dan punca pendapatan. Duit yang ada tu baik buat makan daripada membayar hutang. Banyak juga syarikat tutup dan pekerja mereka kalau dulu tak pernah gagal bayar pinjaman, sekarang dah tak boleh bayar.

Malah, menurut kajian Bank Dunia, 60% orang muflis di Malaysia adalah yang berusia antara 25 hingga 44 tahun.

Apakah itu muflis?

Di Malaysia untuk anda diisytiharkan sebagai muflis atau ikut terma undang-undang ada 3 syarat anda kena penuhi.

  • Berhutang lebih RM50,000 dan tak mampu bayar
  • Gagal bayar hutang selama 6 bulan berturut-turut
  • Menetap di Malaysia selama lebih setahun dalam tempoh berhutang

Bila anda penuhi 3 syarat tersebut, proses insolvensi akan dimulakan apabila mahkamah mengeluarkan perintah kemuflisan kepada anda.

Bila mahkamah boleh keluarkan perintah tersebut sampai anda diisytiharkan muflis?

Petisyen pemiutang

  • Pemiutang (bank /ejen kewangan yang lain) failkan saman di mahkamah untuk mufliskan anda

Petisyen penghutang

  • Anda sendiri yang mohon status muflis
  • Tiada jumlah minima untuk anda minta perisytiharan muflis
  • Petisyen tidak boleh ditarik balik tanpa kebenaran mahkamah

Bila mahkamah sudah mengeluarkan arahan muflis, semua aspek kewangan dalam kehidupan anda akan diatur oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Apa Itu Jabatan Insolvensi Malaysia?

Jabatan Insolvensi Negeri Selangor
Jabatan Insolvensi Negeri Selangor

Secara ringkas, Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) adalah sebuah agensi kerajaan yang mengendalikan kes kebankrapan, kes penggulungan syarikat, pembatalan pendaftaran pertubuhan serta pembatalan kesatuan kerja.

Jabatan ini diketuai oleh satu jawatan statutori iaitu Ketua Pengarah Insolvensi atau dikenali juga sebagai KPI. Tugas dan tanggungjawab MDI meluas tapi beberapa yang utama yang harus anda caknaf adalah seperti berikut:

  • Mentadbir hal ehwal si berhutang dan si bankrap mengikut Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah-Kaedah Kebankrapan 1969
  • Menjalankan penyiasatan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan apa-apa kesalahan yang disyaki dilakukan oleh si bankrap atau pengarah syarikat di bawah Akta Kebankrapan 1967, Akta Syarikat 1965, Akta Pertubuhan 1984, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan di bawah mana-mana perundangan lain yang berkaitan dengan kebankrapan atau penggulungan syarikat
  • Menjadi sumber rujukan kepada Jabatan dan Kerajaan mengenai apa-apa masalah perundangan mengenai kebankrapan atau penggulungan syarikat yang timbul
  • Menyediakan khidmat carian status kebankrapan individu dan status syarikat

Pendek kata, MDI bertanggungjawab menguruskan aspek kemuflisan individu dan syarikat korporat.

Apa Itu Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit?

Agensi Kaunseling dan pengurusan Kredit (AKPK) ialah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2006.

Senang kata, AKPK ni membantu anda untuk mengawal kewangan dan memberikan pandangan untuk gunakan kredit secara bijak. Antara perkhidmatan yang ditawarkan oleh AKPK ialah:

  • Pendidikan kewangan mengenai penggunaan wang dan kemahiran pengurusan kredit yang bertanggungjawab
  • Kaunseling dan nasihat mengenai pengurusan kewangan
  • Program pengurusan hutang untuk membantu pengguna mendapatkan semula kawalan kewangan

3 Tips Elak Muflis!

Dapatkan bantuan profesional untuk masalah muflis

Bila hutang dah menimbun, bank asyik kejar dan memang tak boleh bayar sebab anda tiada pekerjaan. Anda boleh hubungi cawangan AKPK yang ada di seluruh negara.

Di AKPK, anda boleh dapatkan khidmat kaunseling kewangan dan nasihat, program pengurusan hutang dan juga program pendidikan ilmu kewangan untuk memulihkan kembali kewangan anda secara percuma.

Khidmat Guaman  boleh membantu anda dalam masalah muflis
Khidmat Guaman boleh membantu anda dalam masalah muflis

Anda juga boleh berbincang dengan pihak KhidmatGuaman.my jika anda atau syarikat anda berdepan dengan masalah ini.

Bincang dengan bank, jangan lari

Masalah orang berhutang adalah cuba larikan diri. Bank telefon tak berjawab, pegawai bank hendak berbincang tak mahu, hanya mahu cuba untuk larikan diri. Ini tindakan yang salah.

Bank hanya mahu duit mereka, jika anda dalam kesusahan, adakan perbincangan dengan bank. Mereka akan cuba bantu. Kebanyakan bank memang terbuka untuk berunding semula terma pinjaman anda.

Ini kerana pihak bank juga nak kurangkan kecenderungan daripada berlakunya kes pinjaman yang tidak berbayar atau non-performing loan.

Pendek kata, pegawai bank dan bank pun ada matlamat yang nak dicapai. Mereka pun kena menjawab dengan Bank Negara Malaysia kalau kadar non-performing loan sangat tinggi.

Jadi, jalan yang terbaik adalah adakan perbincangan dengan pihak bank. Rumuskan semula aliran pembayaran balik yang anda mampu dan dipersetujui bank.

Tapi, jika tak boleh capai kata sepakat, jangan risau. Anda pergi sahaja ke AKPK kerana agensi tersebut boleh menjadi pengantara antara anda dan bank.

Jual harta dan aset

Ada juga situasi di mana, anda memang ada sedikit simpanan dan aset yang disimpan, tapi tak mahu keluarkan atau jual untuk pembayaran hutang.

Kalau hutang tu sebulan dua tak apa lagi, walaupun skor kredit anda akan buruk, tapi kalau dah 6 bulan berturut-turut, jual lah apa yang patut. Keutamaan sekarang adalah lunaskan hutang, bukan menyimpan.

Simpanan atau hasil jualan aset tu anda boleh guna untuk langsaikan hutang. Malah, sebenarnya kehidupan tanpa beban hutang ni melegakan. Anda boleh elak dikenakan tindakan muflis, tak perlu kehidupan dikawal dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI).

Kesan muflis kepada kehidupan anda

Jika anda gagal untuk mengelakkan diri daripada diisytiharkan muflis, maka anda akan menghadapi pelbagai cabaran dan halangan. Dibawah ini adalah apa yang akan terjadi jika anda diisytiharkan muflis.

1. Dibawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi (KPI)

Perkara ini akan terjadi setelah anda diisytiharkan muflis. Semua kewangan dan aset anda akan ditadbir dan dikendalikan oleh KPI untuk pembayaran hutang.

Dalam erti kata lain, segala duit keluar masuk serta semua aset anda akan dipantau oleh KPI sehingga anda habis langsaikan hutang. Anda juga tidak dibenarkan untuk memindah milik harta kepada pihak ketiga selepas diisytiharkan muflis.

2. Sekatan ke luar negara

Anda yang muflis juga sama sekali tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara tanpa kebenaran bertulis dari KPI ataupun sebelum mendapatkan perintah mahkamah yang membenarkan anda keluar dari negara.

Maksudnya anda boleh ke luar negara atas urusan kerja dan professional, tetapi WAJIB mendapat kebenaran dan kelulusan daripada KPI dulu.

3. Had kredit

Akaun bank anda yang sedia ada akan ditutup serta segala transaksi akan disekat. Jadi anda dilarang daripada melakukan sebarang pengeluaran wang daripada akaun bank yang sedia ada.

Tapi, anda boleh buka akaun baru atau aktifkan balik akaun sedia ada hanya untuk tujuan menerima gaji dengan syarat mendapat kebenaran.

Bukan itu sahaja, anda juga tidak dibenarkan untuk belanja lebih dari RM1,000 menggunakan kad kredit ataupun dapatkan kredit lebih dari RM1,000 dari mana-mana pemiutang.

Tetapi jika anda berniat untuk gunakan kad kredit lebih dari RM1,000, anda hendaklah memaklumkan kepada pihak kad kredit tersebut tentang status muflis anda.

Mereka akan buat keputusan sama ada untuk meneruskan pemberian kemudahan kad kredit tersebut atau tidak.

4. Semua aset disita sekiranya anda muflis

Selepas diisytiharkan muflis, kesemua aset milik anda akan dikendalikan oleh KPI. Sebagai contoh aset yang akan disita seperti kereta dan rumah milik anda akan diambil dan diuruskan oleh KPI.

Ini kerana pihak KPI akan menguruskan aset itu dimana ia akan dijual dan hasil akan digunakan bagi membayar hutang anda.

5. Peluang pekerjaan terhad

Bagi anda yang diisytiharkan muflis tidaklah dihalang untuk bekerja, namun masih terdapat juga beberapa bidang yang mempunyai sekatan yang dikenakan oleh persatuan profesional.

Ini kerana untuk menjaga integriti professional terutama kerja yang melibatkan kewangan. Sebagai contoh anda tidak boleh bekerja sebagai doktor, akauntan, juruukur serta peguam.

Bukan itu sahaja, anda juga tidak boleh dilantik sebagai pengarah di mana-mana syarikat. Maksudnya, anda tidak boleh memiliki sebarang perniagaan atau menjadi sebahagian daripada pemilik perniagaan.

Bagaimana dengan hartanah anda sekiranya anda muflis?

Pendek kata, kesemua aset, hartanah termasuk segala harta keperibadian anda akan disita oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

Anda tidak boleh memindahkan atau menjual harta anda kepada saudara-mara sebelum diisytihar muflis.

Ini kerana Jabatan Insolvensi Malaysia ada kuasa untuk tarik balik semua pemindahan yang dibuat dalam masa 5 tahun lepas dan 2 tahun jika anda ada menjual apa-apa.

Sebagai contoh, anda memindahkan sebuah rumah kepada saudara lain dengan niat untuk melindunginya daripada kebankrapan.

Jabatan Insolvensi boleh mengisytiharkan pemindahan itu tidak sah, kemudian merampas dan melupuskan hartanah itu melalui lelongan.

Melainkan rumah yang anda duduk atau kereta yang anda pakai bukan atas nama anda sebagai contoh atas nama ibu bapa ataupun adik-beradik. Yang itu memang KPI tidak akan ganggu dan usik.

Muflis bukan hukuman mati, tapi haruslah dielak

Masih ada stigma tentang muflis dalam masyarakat. Tanggapan orang yang bila muflis, habislah hidup, susah sampai akhir hayat.

Salah ya, muflis ni bukan nak jadikan kehidupan anda macam neraka. Ia untuk cuma pastikan hutang yang anda tak mampu bayar sebelum ini dapat dibayar.

Jadi, dengan semua penjelasan di atas, apa yang perlu anda lakukan sekarang adalah untuk sentiasa mengambil langkah untuk mengelakkan faktor atau akibat yang membawa kepada kebankrapan atau muflis.

Yang penting kena usaha untuk betulkan balik keadaan dan buatlah langkah bijak untuk selesaikan hutang.