Bantuan Khidmat Guaman

Prosedur perceraian di Malaysia anda perlu tahu

Bacaan 4 minit

Setiap pasangan yang tidak dapat menyelesaikan konflik akan memilih untuk pembubaran perkahwinan. Terdapat beberapa jenis prosedur perceraian mengikut hukum syarak di negara kita, namun empat jenis perceraian utama yang selalu digunakan adalah Talaq, Khuluk, Fasakh dan Li’an.

Jenis-jenis Prosedur Perceraian

  • Talaq: Melepaskan ikatan perkahwinan dengan menggunakan lafaz cerai, talaq, ta’liq talaq atau seumpamanya oleh suami kepada isterinya. Ta’liq talaq ialah lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah dan sebarang pelanggaran syarat-syarat perjanjian oleh suami memberikan hak kepada isteri untuk membuat aduan dan menuntut haknya di mahkamah syariah.
  • Khuluk: Cerai yang dilafazkan oleh suami atas permohonan isteri dengan mendapatkan bayaran tertentu yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan persetujuan bersama.
  • Fasakh: Pembubaran perkahwinan oleh Mahkamah Syariah disebabkan oleh sesuatu keadaan yang diharuskan oleh hukum syarak. Contohnya, suami atau isteri menghilangkan diri selama tempoh lebih daripada satu tahun, suami tidak memberi nafkah dalam tempoh tiga bulan berturut-turut, suami atau isteri menganiayai pasangannya dan lain-lain lagi.
  • Li’an: Pertuduhan zina oleh suami terhadap isterinya.

Sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang jenis-jenis perceraian di Malaysia boleh rujuk di sini.

Syarat Perceraian

  • Perkahwinan itu didaftarkan di Malaysia mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam;
  • Pernikahan itu memenuhi Hukum Syarak; dan
  • Permohonan perceraian mesti difailkan di mana tempat suami atau isteri bermastautin.

Prosedur Perceraian

  1. Membuat aduan di Jabatan Agama Islam di daerah dan nyatakan keinginan untuk bercerai.
  2. Selepas aduan diterima, Pegawai Agama akan menasihatkan anda dan pasangan untuk mendapatkan kaunseling dan pasangan perlu menghadiri maksimum 3 sesi kaunseling dalam tempoh 2-3 bulan.
    • Jika pendamaian tidak dapat dicapai atau suami enggan hadir ke sesi kaunseling, Pegawai Agama akan membuat kesimpulan bahawa proses kaunseling tidak dapat diteruskan dan menasihati anda untuk memohon kepada Mahkamah untuk bercerai.
    • Pegawai Agama akan memberikan anda surat rujukan untuk dibawa ke Mahkamah Syariah.
  3. Bawa surat rujukan tersebut ke Mahkamah Syariah dan daftarkan permohonan perceraian di bawah mana-mana satu daripada pilihan perceraian yang ada.
    • Para isteri dinasihatkan untuk memohon fasakh untuk permohonan cerai.
    • Pada masa yang sama, anda juga dinasihatkan supaya membuat permohonan untuk tuntutan nafkah dan hak penjagaan mana-mana anak.
  4. Apabila permohonan perceraian didaftarkan di Mahkamah, Mahkamah akan mengeluarkan saman terhadap suami anda.
    • Suami anda perlu menghadiri Mahkamah pada tarikh yang dinyatakan dalam saman itu.
    • Mahkamah akan menyiasat permohonan perceraian dan persetujuan oleh kedua belah pihak untuk bercerai dan membenarkan perceraian jika Mahkamah berpuas hati bahawa kedua-dua belah pihak tidak dapat berdamai.
    • Untuk prosedur perceraian melalui talaq, jika kedua belah pihak bersetuju, Mahkamah akan meminta suami melafazkan talaq di dalam Mahkamah dan Hakim akan mengeluarkan perintah yang berkaitan.
    • Jika suami tidak bersetuju, Mahkamah akan merujuk pihak kepada jawatankuasa pendamai untuk percubaan ruju’.
    • Isteri boleh mencabar permohonan talaq suami sekiranya isteri yakin bahawa konflik rumah tangga yang berlaku datangnya dari suami.

Tuntutan Semasa Prosedur Perceraian

Isteri boleh menuntut hak-hak mereka semasa perceraian. Tiga tuntutan utama yang perlu dituntut semasa perceraian adalah:-

  1. Nafkah isteri dan anak-anak;
  2. Hadhanah atau hak penjagaan anak; dan
  3. Harta sepencarian dan hak tempat tinggal.

Nafkah Isteri dan Anak-anak

Nafkah yang berhak dituntut isteri semasa proses perceraian adalah seperti berikut:

  • Nafkah Iddah: Pembiayaan belanja yang diberikan oleh seorang suami kepada isteri sepanjang isteri berada dalam tempoh Iddah.
  • Nafkah tertunggak isteri (jika sepanjang tempoh perkahwinan suami gagal memberi nafkah).
  • Nafkah anak & nafkah tertunggak anak (jika isteri diberi hak penjagaan anak secara kekal/ sementara). Isteri juga boleh memohon Mut’ah (bayaran saguhati) daripada suami anda selepas perceraian. Jumlah mut’ah akan ditetapkan oleh Mahkamah mengikut hukum syara’. Cara pengiraan mut’ah ialah: Nafkah Harian x Tempoh Perkahwinan.

Hadhanah atau Hak Penjagaan Anak

Hak penjagaan anak-anak merupakan hak mutlak seorang ibu semasa perkahwinan ataupun semasa dan selepas perceraian. Sekiranya berlaku perebutan hak jagaan anak semasa perceraian, Mahkamah Syariah adalah badan yang berkuasa untuk menentukan hak jagaan anak tersebut dengan memberikan perhatian kepada perkara-perkara berikut:-

  1. Kebajikan kanak-kanak tersebut;
  2. Kemahuan ibu dan bapa kanak-kanak tersebut; dan
  3. Kemahuan kanak-kanak tersebut sekiranya dia dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya.

Harta Sepencarian dan Hak Tempat Tinggal

Harta sepencarian

Bekas isteri berhak menuntut harta sepencarian walaupun harta yang diperolehi semasa perkahwinan hanya daripada usaha suami sahaja. Mahkamah akan membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira:

  • sumbangan tenaga anda terhadap kebajikan keluarga;
  • sumbangan tenaga anda yang membolehkan suami mengumpul harta; dan
  • keperluan anak-anak yang belum dewasa.

Hak tempat tinggal

Seorang wanita yang diceraikan berhak tinggal di rumah yang dia tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuknya. Hak ini terhenti apabila salah satu syarat-syarat ini tamat:-

  • jika tempoh ‘iddah telah tamat;
  • jika tempoh penjagaan anak telah tamat;
  • jika wanita itu telah berkahwin semula; atau
  • jika wanita itu telah bersalah melakukan perbuatan yang memberahikan secara terbuka (fahisyah).

Ruju’

Ruju’ bermaksud kembali iaitu mengembalikan isteri yang telah diceraikan dengan talaq raj’ie kepada ikatan perkahwinan dengan suaminya menggunakan lafaz tertentu dalam tempoh iddah.

Ruju’ hanya boleh dilakukan jika isteri itu telah diceraikan dengan talaq raj’ie iaitu talaq satu dan talaq dua sahaja. Sebaliknya jika isteri itu diceraikan dengan talaq bain (talaq tiga), maka ruju’ tidak boleh dilakukan.

Tempoh ruju’ bermula daripada saat isteri diceraikan hinggalah tamat tempoh iddah atau mana-mana tempoh iddah yang terpanjang, jika isteri menjalani dua tempoh iddah. Jika tempoh iddah telah tamat, maka suami itu tidak boleh lagi melakukan ruju’ melainkan dengan akad nikah dan mas kahwin yang baru.