Kerjaya seorang peguam adalah bertujuan untuk membantu seseorang yang lemah dan tidak berdaya untuk mempertahankan dirinya bagi menegakkan keadilan di pihaknya. Seseorang peguam mempunyai obligasi untuk membantu seseorang yang memerlukan bantuan ini dan akan memberikan khidmat guaman kepada pelanggannya untuk memenuhi harapan dan permintaannya mereka.
Anak guam biasanya mengharapkan perkhidmatan sepenuhnya daripada peguam agar dia boleh memenangani kes atau jika disabitkan kesalahan, hukuman diringankan melalui proses rayuan ke Mahkamah yang lebih tinggi. Peguam juga berperanan membantu hakim untuk menyelesaikan sesuatu kes berlandaskan kepada prinsip keadilan.
Oleh itu, sewajarnya seseorang peguam itu mempunyai kelayakan yang membolehkannya dilantik menjadi seorang peguam untuk mewakili anak guamnya di dalam mahkamah. Seseorang peguam ditugaskan untuk membela anak guamnya di mana-mana mahkamah dalam kes yang mana mahkamah tersebut mempunyai bidang kuasa terhadap kes yang akan dibicarakan.
Untuk menceburi bidang ini, pelajar harus memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (L.L.B) serta perlu mengikuti sekurang-kurangnya 9 bulan chambering sebelum diterima/melayakkan diri sebagai peguam. Syarat-syarat kelayakan bagi rakyat Malaysia untuk melayakkan diri dalam bidang kerjaya peguam adalah di bawah seksyen 10 dan 11 Akta dan tertakluk di bawah seksyen 14 Akta, iaitu “orang layak” dan boleh diterima menjadi seorang peguambela dan peguam cara di Malaysia perlu memenuhi syarat-syarat berikut:
Untuk melayakkan diri dalam bidang undang-undang sebagai peguam, dan sebelum diterima menjadi peguam (called to bar), calon tersebut mestilah membuat chambering iaitu kursus dan latihan kelayakan selama 9 bulan dengan mana-mana firma guaman yang dikendalikan oleh peguam yang telah diiktiraf sebagai peguam sekurang-kurangnya tujuh tahun. Sepanjang tempoh itu, mereka akan menjalani latihan untuk mempelajari pelbagai ilmu serta aspek yang berkaitan dengan amalan guaman khususnya perkara-perkara praktikal yang tidak diajar di universiti.
Mereka juga dikehendaki lulus Bahasa Malaysia Qualifying Examination yang dijalankan oleh badan penilaian seperti yang tertera di bawah Legal Profession Act. Pengecualian menduduki peperiksaan ini biasanya diberikan berdasarkan keputusan Bahasa Melayu peringkat SPM. Bahasa Malaysia Qualifying Examination di bawah seksyen 5(f) dan 11(2). Peperiksaan ini mengandungi satu ujian lisan untuk menguji kemahiran dalam Bahasa Malaysia sebelum dibenarkan menyertai kerjaya ini.