Pindahmilik kasih sayang

Bacaan 2 minit

Pindahmilik kasih sayang

Pindahmilik kasih sayang merujuk kepada pemberian sukarela atau harta tanpa balasan yang diberikan oleh seseorang kepada pihak lain. Biasanya, pindahmilik ini melibatkan hubungan kekeluargaan seperti antara suami isteri, ibu bapa kepada anak, dan datuk nenek kepada cucu. Anda mungkin ingin membaca Cara tukar nama dalam geran tanah atau rumah kepada anak secara kasih sayang untuk ketahui dengan lebih lanjut dokumen yang diperlukan untuk pindahmilik kasih sayang.

Duti Setem

Perintah duti setem (Peremitan) 2019

Menurut Perintah Duti Setem (Peremitan) (No. 2) 2019 P.U.[A] 369 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2020, telah diwartakan bahawa 50% daripada duti setem boleh dikenakan ke atas mana-mana surat cara pindahmilik harta tak alih yang merupakan pelupusan secara sukarela antara ibu bapa dan anak atau sebaliknya, berdasarkan harga pasaran hartanah. Namun, pelupusan secara sukarela antara suami dan isteri dikecualikan sepenuhnya daripada duti setem.

Kadar pelepasan duti setem dengan balasan kasih sayang
Kadar pelepasan duti setem dengan balasan kasih sayang

Pengecualian duti setem 2023 untuk pindahmilik kasih sayang

Pada Jun 2023, kerajaan telah mewartakan pengecualian duti setem bagi urusan pindahmilik kasih sayang yang berkuat kuasa mulai 1 April 2023. Perintah pengecualian ini dikenali sebagai (Pengecualian)(No. 3) 2023, P.U.[A] 178. Anda boleh merujuk kepada pautan ini untuk melihat keseluruhan warta tersebut.

Butiran pengecualian duti setem

Menurut perintah pengecualian duti setem tersebut, kerajaan telah bersetuju bahawa duti setem ke atas surat cara pindahmilik harta tanah secara sukarela melibatkan ibu bapa kepada anak dan datuk nenek kepada cucu dikecualikan sepenuhnya bagi RM1,000,000.00 pertama nilai harta tanah. Baki nilai harta tanah selebihnya tertakluk kepada kadar duti ad valorem dan diberikan peremitan sebanyak 50% ke atas duti setem yang dikenakan. Perintah pengecualian duti setem ini perlu dilampirkan bersama surat cara Pengisytiharan Hibah atau “Deed of Gift” semasa membuat penyeteman di portal Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Pengecualian bagi hubungan kekeluargaan sahaja

Perlu diingatkan bahawa perintah pengecualian duti setem ini tidak terpakai kepada pemberi dan penerima yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan seperti yang dinyatakan di atas. Oleh itu, status penerima pindahmilik perlu diteliti untuk menentukan kos duti setem yang bakal dikenakan.