Search
Close this search box.

Apa itu notis tuntutan undang-undang

Bacaan 3 minit

Sebelum memulakan saman kebiasaannya bagi kes-kes sivil, pihak yang menuntut melalui peguamcaranya akan menghantar sesalinan notis tuntutan terlebih dahulu atau dikenali sebagai LOD.

Surat ini akan diserahkan kepada pihak yang dituntut.

Secara ringkas surat ini mengandungi fakta kes dan jumlah tuntutan seperti yang dimaklumkan/diarahkan oleh anak guam (jika ada) dan juga amaran jika masih gagal membayar atau mencadangkan penyelesaian jumlah yang dituntut.

Tempoh surat tuntutan

Kebiasaannya, surat tuntutan ini mengandungi satu tempoh iaitu selama 7-14 hari yang dikira dari tarikh surat tersebut bagi pihak yang dituntut menyelesaikan jumlah yang terhutang sebelum apa-apa tindakan lanjut di ambil.

Kadangkala ada juga pihak yang memberi tempoh lebih daripada 14  hari dari notis tuntutan tersebut kerana surat tuntutan adalah bergantung kepada budi bicara pihak yang menuntut.

Selepas tempoh masa diberikan iaitu di antara 7-14 hari tamat, jika pihak yang dituntut masih gagal/enggan menyelesaikan jumlah yang dituntut, peguamcara akan meneruskan dengan prosiding mahkamah atau apa-apa tindakan lain (jika ada) seperti yang diarahkan oleh anakguam.

Mengapa notis tuntutan ini perlu?

Surat tuntutan ini adalah satu pemberitahuan atau peringatan sebelum mengambil tindakan undang-undang. Surat ini seolah-olah amaran daripada pihak yang menuntut yang menyatakan kesediaannya untuk memulakan tindakan undang-undang.

Pada masa yang sama surat ini juga seolah-olah peluang terakhir bagi pembayaran yang dituntut sekiranya gagal tindakan undang-undang akan diambil. Surat tuntutan juga ada satu syarat wajib sebelum mengeluarkan saman dan penyataan tuntutan.

Kes-kes yang sesuai bagi mengeluarkan notis tuntutan

Secara amnnya surat tuntutan dikeluarkan bagi kes-kes sivil yang melibatkan hutang, tuntutan kecederaan, tuntutan bagi fitnah, tuntutan gagal menyerahkan barangan, tuntutan bagi pengingkaran kontrak, tuntutan kerosakan harta benda, ganti rugi pencerobohan dan lain-lain yang melibatkan tuntutan wang ringgit.

Namun demikian surat tuntutan tidak akan dikeluarkan bagi kes-kes jenayah, kes-kes tuntutan di mahkamah industri (iaitu tuntutan bagi kes pekerja dan majikan) atau mana-mana kes yang bukan menuntut ganti rugi yang boleh ditafsirkan dengan wang ringgit.

Apa perlu anda lakukan setelah menerima tuntutan ini?

Sekiranya anda menerima notis ini. Langkah-langkah yang perlu diambil mengikut situasi adalah seperti berikut:

1. Sekiranya anda  bersetuju dengan tuntutan

Contohnya: Anda berhutang dengan pihak A sebanyak RM10,000.00 pada 2013 dan A melalui pegumcaranya telah menuntut sebanyak RM10,000.00 melalui surat tuntutan. Anda memang mengakui jumlah tersebut.

  • Sila hubungi pihak yang menuntut atau peguamcaranya bagi tujuan penyelesaian; samada meminta pengurangan bagi jumlah yang dituntut dengan menawarkan contohnya anda akan membayar secara tunai sekaligus jumlah RM10,000.00 sekiranya diberi diskaun sebanyak RM1,000.00
  • Sekiranya gagal dengan tawaran pengurangan mungkin anda boleh menawarkan bayaran ansuran bagi satu masa seperti membayar RM10,000.00 secara ansuran setahun dengan syarat pihak menuntut tidak akan memulakan tindakan undang-undang
  • Sekiranya pihak menuntut enggan untuk menerima bayaran ansuran anda mungkin boleh membuat rayuan untuk memberikan tempoh yang lebih daripada 14 hari untuk mengumpulkam wang bagi pembayaran tersebut.

2. Sekiranya anda tidak bersetuju dengan tuntutan

Contohnya:  Pihak A telah memberi wang modal sebanyak RM10,000.00 kepada anda untuk memulakan perniagaan bersama dan wang tersebut bukan wang pinjaman tetapi modal bersama dan kedua-dua pihak bersetuju sekiranya perniagaan tidak membuahkan hasil wang tersebut tidak akan dibayar semula. Setelah setahun berniaga, perniagaan masih tidak membuahkan hasil dan mengalami kerugian oleh yang demikian perniagaan ditutup dan kini pihak A melalui pegumcaranya telah menuntut sebanyak RM10,000.00 tersebut melalui surat tuntutan. Anda tidak bersetuju dengan tuntutan tersebut:

  • Anda perlu melantik peguam untuk membalas surat tuntutan tersebut bahawa anda tidak bersetuju. Jangan berdiam diri kerana anda perlu menyangkal dakwaan tersebut. Bagi kes-kes begini kos untuk menjawab kepada surat tuntutan adalah sangat minimum.
  • Sekiranya tidak mampu anda boleh menjawab sendiri.
  • Sentiasa lakukan ‘follow up’ atau menyemak status terkini selepas surat tuntutan dikeluarkan kerana ada kemungkinan pihak menuntut terus memulakan saman terhadap anda.