Search
Close this search box.

Geran hartanah – Apa perlu dibuat kalau geran hilang

Bacaan 2 minit

Sebagai pemilik sesebuah hartanah, kita perlu ada geran asal dalam simpanan dan disimpan rapi. Kalau nak jual hartanah anda tetapi geran hartanah asal hilang, proses jual beli tidak boleh diteruskan.

Berikut kami kongsikan beberapa langkah yang anda patut lakukakan sekiranya geran hartanah anda hilang yang anda boleh gunakan.

1. Buat laporan polis dengan segera

Maklumat yang perlu ada dalam laporan polis:

  • Nama penuh pemilik
  • Nombor kad pengenalan
  • Maklumat geran
  • Alamat hartanah
  • Bila kehilangan berlaku

2. Buat akuan sumpah

Akuan sumpah perlu dibuat di hadapan Pesuruhjaya Sumpah oleh pemilik. Kalau pemilik lebih daripada seorang, semua pemilik harus membuat akuan sumpah bersama.

Akuan sumpah dibuat bagi tujuan untuk mendapatkan semula geran baru di pejabat tanah.

3. Buat permohonan untuk dapatkan geran hartanah baru di pejabat tanah

Antara dokumen-dokumen yang diperlukan:

  • laporan polis asal
  • surat akaun bersumpah asal oleh pemilik
  • salinan kad pengenalan pemilik yang diakui sah
  • carian persendirian hartanah
  • salinan resit cukai tanah dan cukai pintu
  • bayaran permohonan

Ketika hadir ke pejabat tanah, pemilik akan dikehendaki mengisi borang permohonan untuk dapatkan geran baru. Semua dokumen di atas akan dikepilkan bersama-sama dengan borang permohonan.

Carian persendirian hartanah boleh dibuat pada masa yang sama ketika isi dan hantar borang permohonan sebab carian persendirian boleh dapat segera. Jadi, tak perlulah berulang alik ke pejabat tanah. Harga carian persendirian RM30 jika di Selangor.

Ada sesetengah pejabat tanah mungkin minta carian rasmi dan bukannya carian persendirian. Jadi, dalam situasi begini, kena buat carian rasmi. Carian rasmi biasanya tidak akan dapat pada hari yang sama disebabkan pegawai perlu tandatangan dan harga mahal sedikit dari carian persendirian iaitu RM50 jika di Selangor.

Bayaran permohonan juga berbeza di setiap pejabat tanah. Jika di Selangor, bayaran seperti berikut:

  • Geran hilang: RM430 – RM440
  • Geran rosak: RM120 – RM130
  • Geran hancur: RM10

4. Siasatan oleh pejabat tanah

Selepas borang permohonan diserahkan bersama-sama dokumen yang lengkap, dalam masa beberapa minggu (atau bulan) kemudian, pemilik akan dipanggil oleh pejabat tanah untuk menghadiri siasatan berkenaan permohonan tersebut.

Pemilik biasanya akan menerima surat dari pejabat tanah. Jadi, pastikan alamat surat menyurat yang diletakkan adalah alamat terkini.

Semasa siasatan, pemilik perlu menjawab beberapa soalan yang akan ditanya oleh pegawai.

5. Kutipan geran baru di pejabat tanah

Selepas selesai siasatan di pejabat tanah, langkah terakhir hanyalah untuk pejabat tanah memproses dan membuat geran baru bagi hartanah tersebut.

Proses ini biasanya mengambil masa berbulan. Boleh dapatkan kepastian dari pegawai ketika siasatan dijalankan.

Jika geran baru sudah siap, pemilik sekali lagi akan dihubungi oleh pejabat tanah, biasanya melalui surat, untuk datang dan ambil geran baru tersebut sendiri.

Geran tersebut mestilah diambil sendiri oleh pemilik. Jika nak hantar wakil, kena buat surat wakil kuasa untuk orang lain ambilkan.

Lepas dapat geran baru, sebaiknya buat terus salinan photostat manakala geran asal simpanlah di tempat yang selamat. Sekiranya anda memerlukan khidmat peguam anda boleh lihat di sini.